Kenapa turunnya Nabi Isa kali kedua? (Bhg. 2)

kredit
Lalu saya ceritakan, bahawasanya umat Islam turut berpegang dan menyakini bahawa Nabi Isa akan turun buat kali kedua, bersandarkan kepada apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW sendiri. Saya nyatakan kenapa dan bagaimana kisah turunnya Nabi Isa AS iaitu sewaktu menjelang hari kiamat.
 
Nabi Isa diturunkan antaranya adalah untuk membunuh Dajjal yang menjadi fitnah akhir zaman. Ketika itu, umat Islam sedang diancam oleh Dajjal dengan kekuasaan dan sihir yang Allah izinkan padanya. Diceritakan, antara pengikut Dajjal pada saat itu adalah orang-orang Yahudi dan juga pengikut Syiah!
 
Dan siapakah pula yang akan melindungi umat Islam ketika itu? Tidak lain, iaitu Imam Mahdi.
 
Antara pendapat yang paling kuat tentang waktu turunnya Nabi Isa adalah pada hari Jumaat, saat menjelangnya waktu Subuh. Justeru Nabi Isa turun ditengah-tengah saf-saf umat Islam dan Imam Mahdi tatkala mereka sedang ingin melaksanakan solat Subuh. Imam Mahdi telah mengetahui akan hal tersebut dan menyakini bahawa susuk tubuh tersebut adalah Nabi Isa. Lalu Imam Mahdi memperlawa Nabi Isa untuk mengimamkan solat Subuh tersebut.
 
Lalu berkata Nabi Isa, 'sesungguhnya aku juga adalah pengikut ajaran Nabimu, Muhammad. Jadi biarlah aku menjadi makmum'.
 
Peristiwa itu jelas menunjukkan bahawa Nabi Isa turun bukanlah sebagai nabi yang meneruskan ajarannya, tetapi untuk menjadi pengikut nabi yang terakhir yakni Nabi Muhammad SAW. Justeru, jika Pope Benedict menyatakan bahawa Yesus (Nabi Isa) turun buat kali kedua untuk melengkapkan ajarannya, ia bermakna untuk menuruti dan menjadi pengikut Nabi Muhammad SAW - menjadi  Muslim.
 
Benar, itulah perkara pertama yang dilakukan oleh Nabi Isa. Beliau mengumpulkan umat Kristian dan menyeru mereka untuk beriman kepada ajaran Nabi Muhammad SAW, yakni memeluk agama Islam. Selepas itu, tugasan Nabi Isa yang seterusnya adalah membunuh Dajjal.
 
Lalu saya bertanya kepada Pastor dan juga penonton (yang beragama Kristian), adakah anda mahu menunggu sehingga Nabi Isa turun barulah anda ingin memeluk Islam? Tatkala anda sudahpun tahu bahawa itulah antara tujuan Nabi Isa turun untuk kali kedua.
 
Enam bulan berlalu, saya menerima panggilan daripada seseorang. Terkejut, rupanya beliau adalah Pastor yang pernah saya berforum bersamanya. Alhamdulillah, pada saat tersebut, beliau sudahpun memeluk agama Islam.. :) Subhanallah.
 
Justeru pesanan saya buat umat Islam, jangan sesekali takut atau gentar untuk berbicara tentang perbandingan agama dengan penganut ajaran agama lain. Walau tinggi mana sekalipun 'pangkatnya', sama ada ketua paderi, ketua gereja, pastor, hatta seorang pope sendiri. Kerana, kita berada dipihak yang haq dan mereka tidak akan memenangkan hujah mereka, asalkan kita mendalami dan memahami agama kita Islam dengan sebaiknya. 
 
 
....
Disclaimer; Saya selaku penulis hanya menulis kembali berdasarkan ingatan semata2, sebab tidak membawa sebarang alat mencatat. Justeru mungkin terdapat salah dan silap. Mohon ditegur sekiranya ada. Wallahualam.
 

0 comments