Nikah khitbah - tiada yang haram bagi kita



Nikah gantung? 

Nikah gantung atau khitbah adalah suatu ikatan perkahwinan yang sah setelah melakukan perkara yang wajib iaitu akad, dengan kaedah dan syarat yang ditetapkan. Namun hantaran dan juga walimah ditangguh atau digantung sehingga tiba kemampuannya. Bak kata orang-orang tua, "nikahnya sudah, kawinnya belum".

Oleh itu nikah khitbah dibenarkan malah digalakkan oleh Islam, dalam sesetengah keadaan. Contoh, sekiranya ia dapat mencegah hal-hal yang terlarang oleh pasangan yang bercinta hatta berpegangan tangan. Apatah lagi sehingga membuang bayi. Atau, sekiranya perkahwinan adalah kaedah terbaik bagi suatu pasangan yang memerlukan antara satu sama lain, namun masih belum berkemampuan dari segi kewangan dan lain-lain persediaan. Contoh, jika mereka bakal melanjutkan pelajaran di luar negara bersama dan mahukan perhubungan yang halal. Jadi benarlah jika ada pendapat yang menyatakan bahawa nikah khitbah itu lebih baik dari bercouple. Yup, saya bersetuju.

Namun ia tidaklah seringkas dan semudah yang difikirkan oleh kebanyakan pemuda pemudi. Sementelah kebanyakan ibubapa di luar sana juga kurang setuju jika anak-anak kesayangan mereka mahu bernikah secara khitbah. Gatal sangat pula katanya. Sedangkan bercinta pula dianggap perkara lumrah remaja dan biasa. Kecuali, golongan ibubapa yang agak terbuka dan terpelajar terutamanya yang pernah belajar di luar negara.

Jadi kesimpulannya, nikah khitbah bukanlah sesuatu yang mudah dan kebiasaan bagi masyarakat kita. Asalnya nampak seperti mudah sahaja, kan?

Nikah khitbah saling tak tumpah sama sahaja seperti bercouple! Kita tidak tinggal bersama namun kita akan sentiasa berhubung, selalu meluahkan perasaan, sering mengadu itu dan ini, kerap bertanya khabar dan mengambil berat. Semuanya kerap. Kadang-kadang kita akan keluar bersama dan berpegangan tangan. Kadang-kadang kita juga mungkin akan ada tersalah-faham, kadang-kadang kita mungkin akan bergaduh.. Dan pelbagai lagi suka duka pasangan yang bercinta. Cuma bezanya, tiada yang haram bagi kita kerana kita sudah menjadi pasangan suami isteri yang sah. Apa-apa pun kita boleh lakukan apatah lagi sekadar berpegangan tangan. Kecuali, kita cuma masih tidak dapat tinggal dan tidur sekali. Itu sahaja. Itu sahaja??

Jadi bilakah kita akan benar-benar dapat menjalani kehidupan sebagai suami isteri? Iaitu setelah masing-masing berkemampuan terutamanya dari segi kewangan atau lebih tepat, sudah berkerjaya. Lainlah jika ibubapa yang mahu tanggung. Dan titik perubahannya adalah dengan mengadakan walimah, sebagai tanda pemberitahuan. Itupun mungkin kebanyakan orang sudah maklum bahawa kita telah lama bernikah. Dari situlah, kita bakal menjalani kehidupan bersama dengan pasangan kita.

Oleh itu, bagi saya ianya sama seperti pasangan yang sudah lama bercinta dan akhirnya berkahwin. Kita sudah biasa dan rapat dengan pasangan kita. Hampir kesemua tentang dirinya, sudah kita ketahui. Kita sudah faham dan masak dengan personalitinya, kita sudah tahu apa yang dia suka dan tidak suka, dan macam-macam lagi. Cuma bezanya, seperti yang saya sebutkan tadi, tiada yang haram untuk kita (yang bernikah khitbah) lakukan.

Jadi kepada pasangan-pasangan yang sedang hangat bercinta sekiranya anda masih belum mampu untuk berkahwin, suka untuk saya sarankan agar anda berusaha untuk bernikah khitbah. Secara rahsia dan hanya keluarga yang tahu pun sudah memadai. Malah itu yang terbaik, cuma jangan pula berlaku mesra seperti sepasang suami isteri di hadapan orang lain.

Jika diri kita masih tidak punya pasangan, atau tidak terjebak dengan budaya couple, atau tiada tuntutan untuk bernikah lagi, lebih baik untuk kita bersabar dan cukupkan diri dengan segala keperluan rohani dan jasmani, zahir dan batin. Paling penting adalah kewangan dan pengetahuan agama. Oleh itu tiada lagi halangan dan kekangan. Jadi, apabila tiba saatnya kita bernikah dan berkahwin kelak, itulah titik mula untuk kita mengenali dan bercinta sakan dengan pasangan kita, Berdua-duaan, ke sana dan ke sini, berpengangan tangan, malah lebih dari itu.. Seronok, kan? Jadi, save the best for our future partner. 'Exclusive'kan diri kita!

Alangkah indah dan manisnya, saat semuanya sudah halal malah penuh barakah dan dilimpahkan pula dengan pahala.. Sungguh Islam itu indah dan mahukan yang terbaik buat kita manusia :)


Sumber gambar.

3 comments